Friday, August 26, 2011

Menjelang Hari Raya....ketupat oh ketupat

Dengan menjelangnya hari lebaran, persiapan menyambutnya semakin rancak dijalankan. Pendek kata, selagi belum terdengar takbir raya di pagi Syawal, selagi itulah ahli keluarga terutamanya suri-suri rumahtangga akan ligat mengemas, memasak dan bertungkus lumus untuk memastikan hari raya akan disambut semeriah munkin.
Juadah hidangan yang boleh disediakan lebih awal seperti biskut raya telah pun siap untuk dimasukkan ke dalam balang-balang untuk santapan para tetamu. Tetapi juadah di pagi raya seperti ketupat, lemang dan rendang tidak boleh disediakan terlalu awal, takut basi jadinya nanti. Jadi bagi mereka yang hendak cuba membuat hidangan-hidangan tersebut sendiri, ikuti resepi-resepi berikut.

Ketupat Palas


Bahan-bahan ( 60 biji lebih )
  • 1 kilo pulut
  • 1 kilo santan pekat
  • 2sb gula
  • sedikit garam
  • satu simpul daun pandan
  • daun palas secukupnya

Cara-cara

  1. Bersihkan pulut dan masukkan ke dalam kuali
  2. Tambahkan santan, gula, garam dan daun pandan
  3. Masak sehingga separuh masak
  4. *Sentiasa kacau pulut supaya tak berkerak.
  5. Lepas tu boleh la dibungkus dengan daun palas.
  6. Akhir sekali masukkan dalam periuk yang agak besar dan masukkan air sehingga ketupat tenggelam.
  7. Rebus sehingga air kering dan ketupat masak.
  8. Sedap dimakan dgn rendang @kari daging

Cara membungkus ketupat:





Ketupat Nasi dan Serunding Ikan


Bahan ketupat nasi :
• 2 cawan beras
• Daun kelapa – anyam, jadikan kelongsong ketupat
• 1 helai daun pandan

Bahan serunding kelapa ikan :
• 1 biji kelapa parut
• 1 sudu lada hitam
• 3 biji bawang besar
• 3 ulas bawang putih
• Sehiris lengkuas
• 1 batang serai
• 10 gram halia
• 15 gram serbuk ketumbar
• 20 gram isi ikan kembung/selar
• (Ikan direbus dan diambil isi nya)
• 1 sudu kecil air asam jawa
• Garam & gula

Cara membuat ketupat nasi :
1. Beras dibasuh dan tos. Isi kelongsong ketupat dengan beras dalam sukatan suku daripada kelongsong.
2. Rebus ketupat lebih kurang tiga jam. Angkat dan sejukkan.
3. Hidangkan dengan serunding ikan

Cara membuat serunding kelapa ikan :
1. Mesin lada hitam, bawang merah, bawang putih, lengkuas, serai dan halia. Kemudian tumis.
2. Campurkan isi ikan, serbuk ketumbar dan air asam jawa.
3. Masukkan kelapa parut dan kacau rata. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Angkat bila kelapa agak garing.

Cara menganyam ketupat:

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.... Selamat Tinggal Ramadhan.....



Tinggal 3 hari saja lagi sebelum tibanya 1 Syawal  1432 yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam seluruh dunia. Dalam keghairahan nak menyambut hari raya, hati ini juga turut sedih dan pilu dengan berakhirnya bulan  Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan. Semoga amalan puasa dan ibadah yang sempat dilakukan sepanjang bulan ini akan diterima dan diberkati oleh Allah SWT. Marilah kita sama-sama berdoa supaya dipanjangkan umur agar dapat bertemu dengan bulan Ramadhan sekali lagi di tahun hadapan, insyaAllah.



Friday, August 19, 2011

Biskut Tat Nenas

Bahan Pastri
120 g tepung gandum
120 g tepung naik sendiri
150 g mentega
1 biji telur, dipukul
2-3 camb air ais
sedikit garam
kuning telur, utk sapu

Bahan Jem Nenas
2 cawan isi nenas yg sudah diparut
330 g gula pasir
4 kuntum bunga cengkih

Cara-cara

Untuk jem
1.Jerang semua bahan jem dalam periuk non-stick.
2.Kacau hingga pekat dan kental kemudian ketepikan dari api dan biar sejuk.
Untuk pastri:
1.Ayak kedua-dua jenis tepung dengan garam.
2.Gaulramas mentega ke dalam tepung hingga menyerupai serbuk roti.
3.Buatkan 'lubang' di tengah adunan, tuangkan telur dan air.
4.Uli perlahan menjadi doh.
5.Canai doh setebal 5 mm dan terap dengan acuan tat.
6.Atur atas tin pembakar berlengser marjerin dan isikan di tengahnya dengan jem.
7.Gunakan 'penyepit' untuk membuat corak di sekeliling tat.
8.Hias atasnya dengan hirisan pastri.
9.Sapu dengan kuning telur.
10.Bakar pada 175 C selama 25 min atau hingga masak.

Biskut Kacang Mazola



Biskut Kacang Mazola

Bahan-Bahan:
1 kilo tepung gandum (diayak)
1 ½ cawan gula halus
2 cawan kacang tanah (digoreng dan ditumbuk halus)
1 botol minyak jagung mazola (size kecil)
Telur merah dan kacang utk hiasan


Cara:
1.Gaulkan tepung gandum, gula, kacang tanah hingga serata.
2.Kemudian tuangkan minyak jagung mazola sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak melekat ditangan.
3.Kemudian terapkan adunan tadi mengikut bentuk acuan yg anda suka.
4.Sapukan telur merah dan letakkan kacang diatas biskut.
5.Masukkan dalam ketuhar bersuhu 180 atau bakar sehingga kekuningan.

Selamat Mencuba......

Wednesday, August 10, 2011

Panduan Membuat Biskut Raya


Alhamdulillah, hari ini sudah 10 hari umat Islam seluruh dunia berpuasa. Persediaan untuk hari raya sudahpun bermula. Antara persiapan yang diutamakan ialah hidangan kuih raya yang akan disajikan kepada tetamu-tetamu yang akan berkunjung ke rumah tatkala 1 Syawal menjelma nanti.

Ramai para ibu dan isteri terutamanya yang bekerja, memilih untuk membeli sahaja biskut-biskut raya tetapi ramai juga yang gemar, termasuk saya, membuat sendiri biskut-biskut raya. Bagi saya, alasannya ialah sudah menjadi tradisi keluarga setiap tahun untuk membuat sendiri kuih raya bersama anak-anak dan adalah lebih menjimatkan, lebih berbaloi dan lebih 'puas makan' memandangkan keluarga kami yang agak besar. Selain dari itu kuih raya yang dibuat sendiri dapat juga dijadikan buah tangan bila berkunjung ke rumah sanak saudara.

Sebelum kita lihat resipi-resipi biskut kegemaran dan kemestian ramai yang dihidangkan setiap hari lebaran, mari kita lihat dahulu panduan-panduan membuat biskut raya.

Tips untuk menghasilkan biskut yang sedap dan rangup:

1. Panaskan ketuhar 10-15 minit sebelum membakar biskut
2. Gunakan api bawah saja untuk membakar suhu,biasanya pada suhu 170 C-180 C
3. Jika gunakan api atas dan bawah serta kipas, turunkan suhu sebanyak 20 C menjadi 150 C-160 C (sekiranya suhu dalam resipi ialah 170-180 C).
4. Tambah sedikit tepung gandum jika adunan terlembik atau melekat di tangan.
5. Tambah sedikit marjerin atau mentega jika adunan terlalu keras dan berderai atau sukar menjadi doh.
6. Adunan yang mengandungi oat, kacang atau emping jagung selalu lembik selepas diuli tapi akan keras bila ditinggal lama.
7. Tutup adunan yang sudah diuli sementara menanti masa ia dicanai.
8. Jika tin pembakar dialas dengan kertas silikon atau foil, tidak perlu dilenser dengan marjerin.
9. Gunakan marjerin untuk melenser, bukan mentega kerana mentega mudah hangus dan bahagian dasar biskut akan menjadi pahit jika hangus.
10. Bila menyapu kuning telur di atas biskut, usah tumpahkan atas tin pembakar kerana ia mudah hangus dan melekat pada tin.
11. Sebaik masak, ubah biskut ke atas redai supaya mudah sejuk. Jika dibiar wap akan berkumpul di bawah biskut dan menyebabkan biskut tidak tahan lama dan lemau serta berkulat.
12. Letak sedikit gula di dalam balang biskut supaya kekal rangup.
13. Letak paket berisi 'silica' agar biskut tahan lama dan tidak berkulat.
14. Adunan yang tidak habis dibuat boleh dibungkus kemas dan disimpan di dalam peti sejuk. Keluarkan dan biarkan lembut sebelum dicanai.

Monday, August 1, 2011

Set-set hidangan Berbuka Puasa




MENU

SET 1

BERBUKA PUASA

  • Buah Kurma
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Air Kordial


MAKAN MALAM

  • Nasi Putih
  • Ayam Masak Lemak Serai + Kentang
  • Ikan Goreng Berempah
  • Paru Goreng Berlada
  • Kacang Panjang Goreng + Hati + Pedal
  • Sambal Belacan + Ulam-Ulaman
  • Aneka Buahan
  • Air Kordial
  • Air Mineral (cup)


SET 2

BERBUKA PUASA

  • Buah Kurma
  • Bubur Lambuk
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Air Kordial
  • Teh atau Kopi


MAKAN MALAM

  • Nasi Tomato
  • Ayam Masak Kurma Bergajus
  • Daging Rendang
  • Nanas Bombay
  • Papadom
  • Aneka Buahan
  • Air Kordial


MINUM MOREH

  • Dua Jenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Teh atau Kopi


SET 3

BERBUKA PUASA

  • Buah Kurma
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Aneka Buahan
  • Air Kordial
  • Teh atau Kopi


MAKAN MALAM

  • Nasi Putih
  • Sup Bebola Ikan + Tauhu Jepun
  • Ayam Masak Kicap + Kacang Peas
  • Daging Goreng Berlada
  • Kangkung Goreng Belacan
  • Sambal Belacan + Ulam-Ulaman
  • Aneka Buahan
  • Air Kordial
  • Teh atau Kopi
  • Air Mineral


MINUM MOREH

  • Sejenis Bubur & Pengat
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Teh atau Kopi


SET 4

BERBUKA PUASA

  • Buah Kurma
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Aneka Buahan
  • Air Rebusan Mata Kucing
  • Air Kordial
  • Teh O atau Teh Tarik


MAKAN MALAM

  • Nasi Putih
  • Sup Ayam + Kentang + ‘Carrot’
  • Daging Masak Merah ala Siam
  • Ikan Bakar + Air Asam
  • Sayur Campur Goreng
  • Sambal Belacan + Ulam-Ulaman
  • Aneka Buahan
  • Air Rebusan Mata Kucing
  • Teh Tarik
  • Air Mineral (cup)


MINUM MOREH

  • Sup Daging + Kentang
  • Roti Bun
  • Sejenis Kuih Manis
  • Sejenis Kuih Pedas
  • Teh / Kopi


Thursday, July 28, 2011

Niat Puasa Ramadhan dan Doa Berbuka Puasa


Niat Puasa Ramadhan

Lafaz niat untuk sebulan puasa

Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala

Lafaz niat puasa (harian)

Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

Doa Berbuka Puasa


Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Sunday, July 24, 2011

SELAMAT BERPUASA





InsyaAllah lagi 6 hari umat Islam seluruh dunia akan mula berpuasa sempena kedatangan bulan Ramadhan 1432 yang mulia. Semoga kita semua beroleh kekuatan dan kesihatan agar dapat melaksanakan rukun Islam yang ketiga ini sebaik munkin. Doakan juga agar ibadah puasa kita nanti diterima Allah SWT dan semoga mendapat keredaan dan keberkatan dariNya...
Mari tengok kembali niat berpuasa bulan Ramadhan & doa berbuka puasa serta maknanya....

Seronok buat pencarian dalam internet ni mengenai resipi-resipi untuk berbuka puasa tetapi kebanyakan blog mahupun website, berikan resipi untuk satu hidangan atau dish aje. Kita kena cari atau fikir sendiri set hidangan yang nak disediakan. So timbul idea untuk menyediakan beberapa set hidangan berbuka puasa dalam blog ini untuk kita kongsi bersama. Jom layar.....