Wednesday, August 10, 2011

Panduan Membuat Biskut Raya


Alhamdulillah, hari ini sudah 10 hari umat Islam seluruh dunia berpuasa. Persediaan untuk hari raya sudahpun bermula. Antara persiapan yang diutamakan ialah hidangan kuih raya yang akan disajikan kepada tetamu-tetamu yang akan berkunjung ke rumah tatkala 1 Syawal menjelma nanti.

Ramai para ibu dan isteri terutamanya yang bekerja, memilih untuk membeli sahaja biskut-biskut raya tetapi ramai juga yang gemar, termasuk saya, membuat sendiri biskut-biskut raya. Bagi saya, alasannya ialah sudah menjadi tradisi keluarga setiap tahun untuk membuat sendiri kuih raya bersama anak-anak dan adalah lebih menjimatkan, lebih berbaloi dan lebih 'puas makan' memandangkan keluarga kami yang agak besar. Selain dari itu kuih raya yang dibuat sendiri dapat juga dijadikan buah tangan bila berkunjung ke rumah sanak saudara.

Sebelum kita lihat resipi-resipi biskut kegemaran dan kemestian ramai yang dihidangkan setiap hari lebaran, mari kita lihat dahulu panduan-panduan membuat biskut raya.

Tips untuk menghasilkan biskut yang sedap dan rangup:

1. Panaskan ketuhar 10-15 minit sebelum membakar biskut
2. Gunakan api bawah saja untuk membakar suhu,biasanya pada suhu 170 C-180 C
3. Jika gunakan api atas dan bawah serta kipas, turunkan suhu sebanyak 20 C menjadi 150 C-160 C (sekiranya suhu dalam resipi ialah 170-180 C).
4. Tambah sedikit tepung gandum jika adunan terlembik atau melekat di tangan.
5. Tambah sedikit marjerin atau mentega jika adunan terlalu keras dan berderai atau sukar menjadi doh.
6. Adunan yang mengandungi oat, kacang atau emping jagung selalu lembik selepas diuli tapi akan keras bila ditinggal lama.
7. Tutup adunan yang sudah diuli sementara menanti masa ia dicanai.
8. Jika tin pembakar dialas dengan kertas silikon atau foil, tidak perlu dilenser dengan marjerin.
9. Gunakan marjerin untuk melenser, bukan mentega kerana mentega mudah hangus dan bahagian dasar biskut akan menjadi pahit jika hangus.
10. Bila menyapu kuning telur di atas biskut, usah tumpahkan atas tin pembakar kerana ia mudah hangus dan melekat pada tin.
11. Sebaik masak, ubah biskut ke atas redai supaya mudah sejuk. Jika dibiar wap akan berkumpul di bawah biskut dan menyebabkan biskut tidak tahan lama dan lemau serta berkulat.
12. Letak sedikit gula di dalam balang biskut supaya kekal rangup.
13. Letak paket berisi 'silica' agar biskut tahan lama dan tidak berkulat.
14. Adunan yang tidak habis dibuat boleh dibungkus kemas dan disimpan di dalam peti sejuk. Keluarkan dan biarkan lembut sebelum dicanai.

No comments:

Post a Comment